Category Archives: Artikel

Berilah Meskipun Sedikit

Tepat 5.00 pagi deringan loceng berbunyi memecahkan kesunyian pagi di tengah bandaraya Kuala Lumpur itu. Soleh bangun membersihkan diri untuk berjalan ke masjid bagi meneruskan rutin hariannya. Paginya sentiasa di mulakan dengan berjalan ke masjid untuk menunaikan solat Subuh berjemaah.

Pemuda ini usia mudanya tidak disia-siakan begitu sahaja. Usai, solat Soleh mencapai mushaf al-Quran untuk dibacanya satu muka, sebelum pergi ke tempat kerjanya. Dibacanya suatu firman Allah;

مَّثَلُ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمۡوَٰلَهُمۡ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنۢبَتَتۡ سَبۡعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنۢبُلَةٖ مِّاْئَةُ حَبَّةٖۗ وَٱللَّهُ يُضَٰعِفُ لِمَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ ٢٦١

Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir: seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas lagi Maha Mengetahui.

 

Pagi yang indah dihiasi lagi dengan jalinan warna pelangi mengikat antara satu warna dengan warna yang lain. Titisan air jernih membasahi dedaunan yang kehijauan pokok di tepi jalanan. Setibanya di tempat kerja Soleh yang terkenal dengan pemuda yang tidak lokek senyuman di wajahnya, tersenyum ceria memulakan kerjanya.

Ketahuilah senyuman yang ikhlas mampu membahagiakan orang disekeliling kita. Semua kita mempunyai wajah yang dihiasi bibir namun tidak ramai yang menggunakannya untuk tersenyum. Ada pula yang senyumannya sinis sehingga mengguris perasaan kawannya. Namun, senyumlah dengan seikhlas dan semaksima mungkin, kerana Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya;

 

“Senyuman terhadap saudaramu itu adalah satu sedekah.” (Riwayat Tirmizi)

 

Mudah bukan? Untuk kita bersedekah setiap hari. Pahala pun kita perolehi dan aura positif juga meresapi jiwa kita. Apabila tiba waktu rehat, biasanya Soleh yang akan mengimamkan solat Zohor di surau pejabatnya. Setelah itu beliau akan keluar untuk ke kedai makan yang terdekat. Di tepi jalanan untuk ke kedai makan itu, selalunya ada seorang pak cik tua gelandangan yang terbaring berehat, menjadi rutin Soleh menghulurkan sejumlah note duit, tidak sanggup hatinya untuk berlalu pergi begitu sahaja tanpa memberi.

Gaji Soleh tidaklah banyak, beliau hanya seorang ‘office boy’, namun sikapnya cukup mulia. Memberi walaupun tidaklah punya kekayaan wang ringgit, tetapi beliau mempunyai kekayaan jiwa. Tidak lokek untuk memberi, oleh asbab itu Allah hadirkan kekuatan buatnya, bahkan Allah hadiahkan kebahagiaan dalam kehidupan sehariannya.

Kebahagiaan tidaklah mampu dijual dan dibeli, berapa ramai orang yang mempunyai harta kekayaan yang menimbun, namun terlantar sakit di hospital. Hanya mampu melihat hidangan yang lazat di hadapan mata, namun tidak dikurniakan nikmat untuk makan. Berapa ramai orang yang mempunyai pangkat yang tinggi namun hidup tidak tenang, ada sahaja masalah berlaku hingga merasakan mahu pangkat yang lebih tinggi kerana merasakan betapa bahagiannya menjawat pangkat yang tertinggi.

Begitulah kehidupan ini, seketika cuma sahaja. Berebutlah untuk memberi bukan sahaja menunggu. Berilah meskipun kecil nilainya di sisi kita, kerana seandainya ikhlas sungguh besar nilainya di sisi Allah S.W.T.

 

Nabi S.A.W. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam: “Wahai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu di Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.”

 

“Sungguh sedekah itu akan memadamkan kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian yang buruk (su’ul khatimah).” (Hadis Riwayat al-Tirmidzi)

 

 “Bentengilah hartamu dengan zakat, ubati orang-orang sakit (dari kalanganmu) dengan bersedekah dan persiapkan doa untuk menghadapi datangnya bencana.” (Hadis Riwayat: Imam Ath-Thabrani)

 

“Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah”