Category Archives: IBADAH

Tanda-Tanda Akil Baligh

TANDA-TANDA AKIL BALIGH

Bismillahirrahmaanirrahim. Segala Puji bagi Allah dan Selawat serta Salam ke atas Penghulu
kita Nabi Muhammad S.A.W. Pengetahuan mengenai tanda-tanda baligh ini adalah sangat
penting kerana kita mula mendapat kewajiban untuk melaksanakan ibadah-ibadah. Dengan
kata lain, hukum syarak mula berlaku ke atas kita semenjak kita baligh. Orang yang sudah
baligh juga mula memiliki buku catatan amal perbuatannya sendiri di sisi Allah. Jika anak
kecil yang belum baligh meninggalkan solat maka tidak ada dosa baginya. Namun, jika ada
orang yang sudah baligh meninggalkan solat maka itu merupakan suatu dosa yang sangat besar.
Di dalam kitab Safinatun Naja (kitab Fekah mazhab Syafie) dijelaskan bahawa ada 3 ciri/tanda
seseorang telah mencapai akil baligh. Ciri tersebut antara lain:

1. Telah sampai umur 15 tahun bagi lelaki dan perempuan.
– iaitu tepat berumur 15 tahun mengikut tahun hijriyyah (bermula sejak dilahirkan
dengan keluar seluruh tubuhnya). Bilangan hari untuk 1 tahun hijriyyah
(qamariyyah) adalah 354 hari, 8 jam dan 8 minit. Bagi 1 tahun masihi pula ialah
360 hari.
– Seseorang dianggap sudah baligh jika mencapai umur 15 tahun
hijriyyah/qamariyyah, jika tidak ada tanda-tanda baligh seperti keluar air mani,
keluar darah haid, berubah suara, tubuh badan dan lain-lain.

2. Bermimpi keluar air mani bagi lelaki dan perempuan yang berumur sembilan tahun.
– Ihtilam bermaksud mimpi. Yang dimaksudkan dengan mimpi di sini ialah mimpi
bersetubuh dan keluar air mani.
– Sembilan tahun hijriyyah/qamariyyah dan ke atas, bukan tahun masihi.

 Imam nawawi berkata, “Air mani lelaki yang sihat adalah air yang berwarna
putih, kental (seperti putih telur ayam), keluar secara memancut kuat, keluar
bersama syahwat, terasa nikmat ketika keluar dan menyebabkan lemah anggota
badan selepas ia keluar. Baunya seperti mayang kurma, hampir sama dengan
bau adunan tepung ketika masih basah dan baunya seperti putih telur ayam jika
telah kering.
 Kadang-kadang tidak semua sifat di atas ada ketika keluar air mani. Oleh itu,
jika ketiga-ketiga atau salah satu daripada sifat ini ada, maka ia adalah air mani
contohnya:
i. Ia keluar dengan syahwat dan menyebabkan badan letih setelah keluar
ii. Bau seperti mayang kurma.
iii. Keluar bertahap-tahap.

3. Keluar darah haid bagi perempuan yang berumur sembilan tahun.
– Haid dari segi bahasa ialah aliran. Ia adalah darah yang keluar daripada rahim
perempuan yang paling dalam dan keluar dengan cara normal pada waktu-waktu
tertentu. Disebut juga dengan “datang bulan”. Ketika keluar ia terasa panas.

Berumur sekurang-kurangnya tepat sembilan tahun hijriyyah atau kurang 16 hari
sebelum tepat sembilan tahun hijriyyah bagi perempuan. Perempuan yang keluar
darah di bawah umur sembilan tahun hijriyyah, darah itu adalah darah fasad (rosak).
Wallahua’lam.

Disediakan oleh:
Suhaifullah bin Sulong,
Pegawai Jabatan Penyelidikan Dan Dakwah,
Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia.
(PERTAMA)

Artikel penuh boleh dimuatturun di sini.