Kepentingan Akidah Dalam Islam

 

Di antara ilmu wahyu yang paling utama dan paling mulia adalah ilmu tauhid (akidah) kerana ianya merupakan cabang ilmu yang berkaitan tentang Allah s.w.t.. Nama dan SifatNya, disamping cabang-cabang ilmu yang lain yang merupakan asas kepada gagasan keilmuan Islam. Allah s.w.t. berfirman di dalam al-Quran yang mulia :

فَٱعۡلَمۡ أَنَّهُۥ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا ٱللَّهُ

Bermaksud : Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (Wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah.

Surah Muhammad (47) : 19

Perkataan tauhid atau akidah secara umumnya menggambarkan lafaz tradisi yang penting dan menjadi pegangan akidah khususnya bagi umat Islam iaitu merasa yakin dan saksi bahawa ‘Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah’. Syahadah dan Muslim merupakan satu perkaitan yang amat padu tanpa boleh dipisahkan. Lafaz saksi ini merupakan satu lafaz wajib dan menjadi asas kepada semua kepercayaan dan pelaksanaan dalam kehidupan seharian umat Muslim. Penegasan terhadap konsep tauhid ini banyak dijelaskan dan diungkapkan di dalam sumber-sumber Islam terutama dalam menyatakan tauhid sebagai matlamat penciptaan.

Oleh kerana pentingnya ilmu aqidah maka kita dapati seluruh para ilmuan Islam akan mengutamakan ilmu aqidah. Perkara ini dapat dipetik dari kenyataan Imam tertua di antara mazhab empat iaitu Imam Abu Hanifah menyatakan dalam kitab beliau Fiqh al-Absat yang bermaksud :“Ketahuilah bahawa mendalami ilmu usuluddin (aqidah) itu lebih mulia dari mendalami ilmu fiqh”. Kenyataan ini tidak bermakna kita tidak harus mempelajari ilmu fiqh langsung, akan tetapi Imam Abu Hanifah menerangkan kemuliaan mempelajari dan mengutamakan ilmu aqidah. Begitu juga para ulama yang lain mengutamakan ilmu ini seperti Imam yang menjadi pegangan mazhab di tanah air kita iaitu Imam Syafie menyatakan yang bermaksud : “Kami telah mendalami ilmu tersebut (aqidah) sebelum ilmu ini (fiqh).”

Adalah dimaklumi bahawa akidah memainkan peranan besar dalam membentuk insan yang sempurna, sebuah masyarakat yang harmoni dan negara yang aman dan sejahtera. la turut mampu berperanan mencorakkan seluruh aktiviti manusia, termasuk kegiatan pembangunan ummah yang bertujuan untuk membolehkan seluruh ahli masyarakat mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Rujukan

  1. Farhana Abdul Rahman, Pemahaman Konsep Tauhid Asas Keharmonian Kepelbagaian Agama.
  2. Mohd Rasyiq Alwi, Ancaman dan Penentangan Terhadap Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
  3. Susunan Ratib Alami, Sempadan Iman Prinsip dan Keyakinan Akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah al-Aqidah at-Tahhawiyyah.

Leave a Reply

Your email address will not be published.